Tag Archives: Halal dan haram

Status Produk Investment link Insurance menurut pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan

Dipetik dari http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-ke-atas-produk-investment-link-menurut-islam

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 – 23 November 2006 telah membincangkan Hukum Ke Atas Produk Investment Link Menurut Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa umat Islam hari ini mempunyai banyak alternatif untuk membeli atau melabur dalam produk-produk insurans yang berlandaskan syariah.

Oleh itu, pembelian produk-produk Investment Link yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat insurans konvensional yang menggabungkan insurans konvensional dan pelaburan saham amanah dalam dana-dana yang tidak menepati syarak perlu dielakkan oleh umat Islam.

  
Keterangan/Hujah:
LATAR BELAKANG
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menerima pertanyaan daripada orang ramai berhubung dengan hukum penyertaan dalam produk Investment Link yang ditawarkan oleh syarikat insurans konvensional di negara ini. Isu ini juga timbul di Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia yang diadakan di Hotel Pan Pacific KLIA Sepang.
Investment Link (produk yang berkaitan dengan pelaburan) ialah program tabungan berasaskan pelaburan saham secara berkelompok yang pemilikannya dikira mengikut jumlah unit seperti saham amanah dan digabungkan pula dengan manfaat insurans nyawa (life insurance). Dengan kata lain, wang caruman insurans (premium) dilabur untuk memperoleh keuntungan dan pada masa yang sama peserta turut mendapat jaminan perlindungan melalui produk insurans nyawa, jika ditakdirkan sesuatu musibah menimpa peserta atau pemiliknya.Maklumat berkaitan produk Investment Link adalah seperti berikut:

a. Faedah utama produk : antara faedah utama ialah perlindungan kewangan akibat kematian dan keilatan kekal. Peluang-peluang pelaburan. Fleksibel dalam memilih perlindungan yang dikehendaki.
b. Syarikat-syarikat yang menawarkan produk: Di Malaysia, Syarikat Takaful Malaysia Berhad dan Maybank Takaful menawarkan produk Investment Link yang mematuhi syariah. Syarikat-syarikat ini melabur dalam sekuriti lulus syariah dan menawarkan perlindungan takaful. Syarikat-syarikat insurans konvensional yang menawarkan produk ini ialah AM-Assurancelink, AIA Co. Ltd dan Great Eastern Life Assurance (M) Bhd.
c. Perbezaan operasi syarikat-syarikat dalam menguruskan produk:
TAKAFUL MALAYSIA
GREAT EASTERN
Akad Investment Link antara syarikat dan peserta
Akad yang digunakan Takaful Malaysia berasaskan akad wakalah bil-ujrah
Akad yang digunakan ialah akad jual beli insurans yang mempunyai unsur gharar, riba dan judi
Pelaburan
Pelaburan melibatkan kaunter-kaunter lulus syariah sahaja
Pelaburan terutama dana amanah Islam (dana restu) melibatkan kaunter lulus syariah
Jawatankuasa Syariah
Takaful Malaysia mempunyai Jawatankuasa Syariah peringkat organisasi untuk memantau pelaburannya.
Great Eastern tidak mempunyai Jawatankuasa Syariah peringkat organisasi untuk memantau pelaburannya.
Akta yang mengawal
Takaful Malaysia beroperasi berasaskan Akta Takaful 1984 dan Peraturan-peraturan (Akta 312)
Great Eastern beroperasi berasaskan Akta Insurans 1996 (Akta 546).
HUJAH DAN DALIL
Isu syariah yang timbul dalam Investment Link ialah sebahagian wang caruman (premium) peserta digunakan untuk membeli polisi insurans konvensional dan sebahagian yang lain dilabur dalam pelaburan saham amanah Islam. Dalam erti kata lain peserta mencarum misalnya RM100 sebulan, sejumlah RM55 digunakan untuk caruman polisi insurans konvensional manakala baki RM45 digunakan untuk melabur dalam saham amanah Islam. Oleh yang demikian, penentuan hukum berdasarkan prinsip-prinsip syariah dan keputusan fatwa yang telah ditetapkan seperti berikut:
a. Keputusan Fatwa
Keputusan fatwa berkaitan insurans (konvensional) telah diputuskan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bertarikh 15-16 Februari 1979. Keputusan fatwa tersebut ialah:
Insurans nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insurans yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu matlamat yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu: mengandungi gharar (ketidaktentuan); mengandungi unsur judi; mengandungi muamalah riba.
Berdasarkan keputusan fatwa ini, kontrak insurans yang wujud pada hari ini adalah haram hukumnya. Sehubungan itu, perlindungan insurans konvensional yang digabungkan dalam produk Investment Link adalah bercanggah dengan hukum syarak.
b. Suruhanjaya Sekuriti
Peraturan Suruhanjaya Sekuriti menyatakan mana-mana syarikat yang ingin melaburkan wang saham amanahnya dalam sekuriti lulus syariah hendaklah melantik Jawatankuasa Syariah bagi mengawasi dan memastikan pelaburannya berlandaskan prinsip syariah.
Dalam konteks ini Takaful Malaysia dan Maybank Takaful mempunyai Jawatankuasa Penasihat Syariah masing-masing bagi memantau pelaburan yang dibuat manakala syarikat insurans konvensional pula tidak menubuhkan Jawatankuasa Syariah kerana Akta Insurans 1993 tidak mengkehendaki berbuat demikian. Walaupun syarikat ini mendakwa pelaburan Investment Link mereka adalah lulus syariah dan merujuk kepada Jawatankuasa Syariah syarikat atau bank lain, tetapi disebabkan ketiadaan Jawatankuasa Syariah dalaman di peringkat organisasi sebagaimana yang disyaratkan oleh Guideline On Unit Trusts menyebabkan dakwaan ini sukar diterima.Sumber: Himpunan Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan: Berhubung Dengan Isu-Isu Muamalat (2009